Pengurus Real Madrid, Zinedine Zidane, menegaskan trofi LaLiga masih belum terjamin selepas pendahulu LaLiga itu selangkah lagi untuk mengesahkan gelaran juara.

Madrid hanya memerlukan satu kemenangan lagi untuk menundukkan mengetepikan juara bertahan selama dua musim, Barcelona, susulan kemenangan 2-1 di Granada, awal pagi tadi.

Gol sulung Ferland Mendy buat kelab ibu kota Sepanyol itu selain jaringan Karim Benzema mengembalikan kelebihan Los Blancos kepada empat mata dengan baki dua perlawanan lagi.

Lantas, Madrid berpeluang menjamin gelaran kedua liga dalam tempoh lapan musim ketika bertandang ke Villarreal awal pagi Jumaat ini, begitupun selepas perlawanan, Zidane mengelakkan daripada mengulas mengenai prospek kejuaraan berkenaan.






"Kami tampil dengan sangat baik dalam babak pertama, terutama membabitkan penguasaan bola," katanya kepada wartawan.

"Prestasi kami dalam separuh masa kedua tidak begitu bagus tetapi ia didorong oleh lawan yang dihadapi.

"Untuk berkunjung ke sesuatu tempat dalam LaLiga, anda harus menderita sedikit dan kami berjaya melaluinya secara berpasukan.

"Kami harus berbangga dengan pasukan ini. Kami masih ada dua perlawanan untuk diharungi dan kami belum memenangi apa-apa lagi.

"Itulah kenyataannya dan ada enam mata lagi untuk direbut. Ketika kami memulakan musim ini, impian kami ialah untuk memenangi LaLiga, tetapi ia masih belum tiba."

Madrid mendahului 2-0 selepas hanya 16 minit permainan melalui Mendy dan Benzema, namun pelawat cuba bangkit dan memberi saingan hebat.

Pemain Granada, Darwin Machis, menjadikan kedudukan 1-2 dalam baki babak sekali gus memaksa Madrid untuk bertahan.

"Saya berteriak kerana saya gembira dan kerana kami menderita dalam bola sepak," tambahnya yang menjerit sebaik wisel penamat ditiupkan.

"Adalah normal untuk berteriak kerana ia adalah tiga mata yang sangat penting.

"Saya berteriak untuk memberitahu pemain saya bahawa mereka akan telah mengharungi satu perlawanan yang mengagumkan. Saya gembira buat mereka."