Pengurus baru Monaco, Thierry Henry, berkata dia memerlukan masa untuk mengubah situasi di Stade Louis II walaupun dia tidak menolak akan mengejar slot ke saingan Liga Juara-Juara Eropah.

Pemenang Piala Dunia 1998 itu mengambil-alih jawatan ketua jurulatih buat kali pertama dan menjadi pilihan Monaco tatkala mereka kini bergelut dalam saingan Ligue 1.

Henry tidak sabar untuk memulakan tugasnya tetapi menegaskan keputusan positif hanya akan diraih sekiranya mesej yang disampaikan ketika sesi latihan benar-benar berhasil.

"Anda semua tahu keputusan adalah keutamaan tetapi ia adalah hasil daripada apa yang berlaku sebelum ini," kata Henry.

"Saya tidak suka menggunakan perkataan 'menang' tetapi ia hanya boleh diraih jika anda bekerja dengan baik," katanya.

Monaco hanya meraih enam mata daripada sembilan perlawanan dan Henry tidak meletakkan sebarang sekatan dalam cita-cita bersama Monaco walaupun Naib Presiden Monaco, Vadim Vasilyev, tidak memberikan sebarang tekanan.

"Selagi ada mata yang boleh didapatkan, menamatkan saingan dalam kelompok tiga terbaik sesuatu yang tidak mustahil," tambah Henry.

"Ia satu tugas yang masih jauh dan sukar tetapi kita akan lihat apa yang boleh dilakukan," ujarnya.

Pengendali baru itu juga sudah mengenal pasti bahagian yang perlu ditingkatkan Monaco dan menambah: "Pertama, kami perlu hentikan gawang daripada bolos, kemudian cari keseimbangan. Saya tidak akan terangkan secara terperinci tetapi kami harus mendapatkan sedikit aspek keselamatan dalam kebijaksanaan.

"Kami juga perlu mengenal pasti cara untuk bermain dengan bola dalam mengatasi pihak lawan sambil mengekalkan keseimbangan dalam kawalan.

"Anda juga perlu menjadi serba boleh. Lawan mungkin memaksa anda untuk mengubah sesuatu dan anda perlu lakukannya ketika waktu rehat. Anda mungkin perlu bertenang, mungkin juga perlu menambah tekanan. Dua atau tiga pemain perlu bersama bola."

Situasi dalam projek Monaco menjadi perdebatan hangat selepas pihak kelab terus menjual pemain bintang tetapi Vasilyev yang turut bersama Henry sewaktu pengendali itu diperkenalkan semalam, yakin mereka masih berada di laluan yang tepat.

"Kami yakin projek yang dijalankan adalah sesuatu yang tepat. Ia berhasil. Cuba lihat kepada keputusan dalam beberapa tahun terakhir. Setiap pasukan berdepan detik sukar," ujar Vasilyev.

"Kami sedang melaluinya tetapi itu tidak bermaksud kami perlu mengubah projek. Kami perlu mengeluarkan diri daripada zon penyingkiran."