Aksi Legia Warsaw-Real Madrid kekal di stadium kosong

Oleh Joe Wright 12 Oktober 2016 2
Aksi Legia Warsaw-Real Madrid kekal di stadium kosong
Legia Warsaw bakal melayani kunjungan Real Madrid di stadium kosong selepas Kesatuan Bola Sepak Eropah (UEFA) menolak rayuan kelab Poland itu. 

Legia didapati bersalah akibat tindakan penyokongnya yang membakar mercun, membaling objek dan bersikap perkauman semasa kekalahan dalam aksi Liga Juara-Juara kepada Borussia Dortmund, bulan lalu. 

Kelab itu didapati bersalah kerana kelemahan penganjuran dan menyebabkan laluan tangga disekat.

Malah, mereka turut memohon maaf selepas sebilangan penyokong menyembur anggota keselamatan dengan penyembur lada ketika cuba menceroboh kawasan penyokong Dortmund, tetapi dalam masa yang sama, mereka menafikan membuat ejekan berbaur perkauman. 

Susulan daripada kejadian itu, Legia mengemukakan rayuan, namun UEFA mengumumkan bahawa hukuman itu berserta denda sebanyak EUR80,000 (RM370,100) dikekalkan. 

"Rayuan yang dibuat Legia Warszawa telah ditolak. Oleh itu, keputusan Jawatankuasa Kawalan, Etika dan Disiplin UEFA (CEDB) terhadap hukuman pada 28 September 2016 disahkan," katanya dalam satu kenyataan. 

"CEDB telah mengarahkan Legia Warszawa untuk bermain dalam perlawanan UEFA sebagai tuan rumah di stadium tertutup. Kelab itu juga didenda EUR80,000."

Legia, yang melantik Jacek Magiera sebagai ketua jurulatih bulan lalu selepas Besnik Hasi meletak jawatan secara persetujuan bersama, akan menjalani hukuman itu ketika berdepan penyandang juara, Real Madrid, dalam aksi Liga Juara-Juara pada 2 November.
 

Tentang Penulis

Joe Wright

Komen