SEVILLA 1 JUVENTUS 3

Claudio Marchisio percaya Juventus memiliki kemampuan untuk beraksi lebih baik selepas melakar kemenangan 3-1 ke atas Sevilla yang terpaksa beraksi dengan 10 pemain dalam pertemuan Liga Juara-Juara di antara kedua-dua pasukan itu pagi tadi.

Kemenangan itu mengesahkan laluan Juventus ke peringkat 16 terakhir, namun Marchisio belum berpuas hati dengan corak persembahan pasukannya kerana mereka hanya mampu mencapai kemenangan itu menerusi jaringan Leonardo Bonucci dan Mario Mandzukic, enam minit sebelum wisel penamat ditiupkan.

Terlebih dahulu, Marchisio menyamakan kedudukan menerusi sepakan penalti selepas Nicolas Pareja lebih awal meletakkan pasukan tuan rumah di hadapan.

Kepincangan lawan yang kehilangan Franco Vazquez akibat layangan kad merah, gagal dimanfaatkan sepenuhnya kerana Sevilla masih mampu memberi ancaman dan situasi itu mendorong Marchisio untuk mengatakan juara Itali itu patut bermain dengan lebih baik.

"Kami masih perlu memperkemaskan permainan kerana kami mempunyai kualiti untuk beraksi lebih baik," katanya kepada Mediaset.

"Bukan mudah beraksi di sini. Para penyokong mereka cukup bersemangat biarpun kami telah menjaringkan gol ketiga.

"Persembahan kami bukanlah buruk memandangkan Sevilla cukup kental di laman sendiri dan jarang menjaringkan gol tapi kami mampu mendapatkan tiga gol."

Jurulatih Juventus, Massimiliano Allegri, bersetuju dengan pandangan yang dilontar Marchisio serta mengkritik kesilapan pemainnya ketika perlawanan masih seimbang.

"Kami gembira berikutan telah mencapai salah satu daripada objektif kami," tambahnya. "Tapi kami harus memperbaiki prestasi dan lebih tajam.

"Saya berang melihat perkara gila seperti memberi bola kepada pihak lawan pada saat-saat akhir perlawanan atau melepaskan sepakan penjuru dengan mudah berikutan lawan yang kami hadapi hebat dalam perebutan bola di udara -- kami melepaskan gol dalam peluang tunggal sepakan penjuru mereka."

Sorotan perlawanan Sevilla lawan Juventus: