Aksi hebat Suso julang Milan

Oleh Penulis Jemputan 26 Oktober 2017 575
Aksi hebat Suso julang Milan
CHIEVO VERONA 1 AC MILAN 4

Aksi memukau daripada pemain tengah, Suso, berjaya menamatkan rentetan empat aksi tanpa kemenangan buat AC Milan selepas membantu pasukannya menewaskan Chievo Verona 4-1 dalam saingan Serie A di Marcantonio Bentegodi, awal pagi tadi.


Skuad kendalian Vincenzo Montella turun ke tempat lawan dalam keadaan tertekan selepas hanya meraih satu mata dalam empat perlawanan terakhir, termasuk ketika tewas 2-3 di tangan musuh setempat, Inter Milan.

Chievo yang berada di bawah bimbingan Rolando Maran pula mengharungi permulaan musim yang membanggakan selepas tidak tewas dalam enam aksi terdahulu untuk membolehkan mereka berada di tangga ketujuh liga.

Bagaimanapun, Suso yang pernah beraksi bersama Liverpool, meletakkan pelawat di depan ketika perlawanan berusia 36 minit menerusi satu sepakan lencong kaki kiri yang menewaskan penjaga gol Chievo, Stefano Sorrentino.

Pemain yang menjaringkan tujuh gol musim lalu buat Rossoneri itu sekali lagi menghukum pertahanan tuan ruma, apabila rembatannya dari sebelah kiri gol menyaksikan pertahanan, Bostjan Cesar, tertanduk bola masuk ke gawang sendiri ketika aksi berbaki dua minit menuju rehat.

Separuh masa kedua menyaksikan Milan terus mendominasi perlawanan dan berjaya meraih gol ketiga, kali ini menerusi Hakan Calhanoglu selepas pemain skuad kebangsaan Turki itu tenang menyudahkan lorongan Franck Kessie pada minit ke-55.

Tuan rumah merapatkan jurang pada minit ke-61 apabila Valter Birsa menjaringkan gol dari jarak dekat untuk memberikan sedikit harapan buat Chievo, namun kegembiraan itu tidak kekal lama selepas Nikola Kalinic menambah gol keempat buat AC Milan tiga minit kemudian hasil umpanan Suso.

Kemenangan 4-1 itu meletakkan anak-anak buah Montella di tangga kelapan liga, dipisahkan sembilan mata dengan kelompok tiga teratas.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen