OLYMPIQUE LYON 3 MONACO 2

Aksi memukau pemain tengah Olympique Lyon, Nabil Fekir, berjaya membantu pasukannya menewaskan Monaco 3-2 dalam aksi Ligue 1 yang berlangsung di Stadium Groupama, awal pagi tadi.

Kemenangan itu menyaksikan Lyon kini berada di tangga ketiga dengan 16 mata, berkongsi mata dengan pasukan tangga keempat dan kelima, Marseille dan Nantes, serta tiga mata di belakang Monaco yang berada di tempat kedua.

Aksi cemerlang Fekir ditampilkan sejak awal permainan apabila berjaya menggelecek dua pertahanan lawan sebelum melakukan hantaran rendah untuk mudah disudahkan oleh penyerang, Mariano Diaz, ketika permainan baru berusia 11 minit.

Bagaimanapun, gol pendahuluan itu tidak bertahan lama apabila Rony Lopes menyamakan kedudukan buat skuad kendalian Leonardo Jardim itu menerusi rembatan kaki kiri, enam minit kemudian.

Belum sempat skuad juara bertahan itu mengatur gerakan seterusnya, Fekir sekali lagi berjaya memberikan masalah kepada Monaco apabila menjaringkan gol kedua selepas menyempurnakan hantaran leret Ferland Mendy.

Ternyata aksi di Stadium Groupama menjadi semakin sengit selepas Adama Traore kembali mengikat kedudukan 2-2 apabila situasi kelam-kabut di depan gawang tuan rumah membolehkannya melepaskan rembatan kencang menewaskan penjaga gol Lyon, Anthony Lopes.

Selepas kedudukan 2-2 kekal sehingga tamat babak pertama, separuh masa kedua menyaksikan kedua-dua pasukan lebih berhati-hati dalam setiap gerakan.

Permainan menjadi perlahan, namun ketika perlawanan dilihat bakal berakhir dengan keputusan seri, Fekir muncul watak pemusnah pada waktu kecederaan apabila menyempurnakan sepakan percuma dari sebelah kiri gol pelawat selepas sepakan rendahnya mengelirukan penjaga gol, Danijel Subasic.

Kedudukan kekal 3-2 sehingga wisel penamat dibunyikan, membolehkan Lyon mengekalkan rekod tanpa kalah di laman sendiri sementara Monaco bakal ketinggalan enam mata di belakang pendahulu, paris Saint-Germain (PSG) sekiranya anak-anak buah Unai Emery berjaya menewaskan Dijon, hari ini.