LaLiga mencadangkan pertembungan 'El Clasico' di antara Real Madrid dan Barcelona Sabtu depan dipindahkan dari Camp Nou ke Santiago Bernabeu ekoran pergolakan politik di wilayah Catalonia.

Sembilan pemimpin politik Catalan dijatuhi hukuman penjara di antara sembilan dan 13 tahun, Isnin lalu, atas peranan mereka dalam referendum 2017 kerana menuntut kemerdekaan di wilayah berkenaan.

Keputusan itu mencetuskan tindak balas dan pertengkaran di antara polis dan penunjuk perasaan sehingga menyebabkan lapangan terbang utama Barcelona terpaksa ditutup pada hari berikutnya akibat ketegangan berkenaan.

Ahli-ahli politik pro-kemerdekaan bandar raya berkenaan akan membuat tuntutan itu pada Sabtu depan, hari yang menyaksikan Barca dijadualkan akan menjadi tuan rumah kepada seteru utama mereka itu di Camp Nou.

Omnisport difahamkan LaLiga telah meminta Jawatankuasa Pertandingan Persekutuan Bola Sepak Diraja Sepanyol (RFEF) untuk mengalihkan perlawanan ke Madrid atas sebab-sebab keselamatan selain untuk mengelakkan gangguan.

Jawatankuasa itu dijangka akan membuat keputusan itu beberapa hari lagi.