Aksi Dortmund , Monaco pengalaman ekstrem -- Mbappe

Oleh Staff Writer 13 April 2017 1247
Aksi Dortmund , Monaco pengalaman ekstrem -- Mbappe
Bintang AS Monaco, Kylian Mbappe, menyifatkan beraksi dalam senario penuh emosi dalam Liga Juara-Juara Eropah berdepan Borussia Dortmund sebagai saat yang sangat ekstrem dalam kariernya.

Mbappe meledak dua gol untuk membantu Monaco mengatasi Dortmund 3-2 di Signal Iduna Park, namun perlawanan tersebut dibayangi serangan bom yang melanda bas kelab Jerman itu sehingga menyebabkan pertahanan, Marc Bartra, dikejarkan ke hospital.

Sebelum dan selepas perlawanan, pengendali Dortmund, Thomas Tuchel, meluahkan kemarahannya kerana dipaksa bermain kurang 24 jam selepas insiden serangan tersebut manakala Nuri Sahin berkata dia tidak mampu fokus setelah apa yang berlaku.

Mbappe menggambarkan bagaimana insiden tersebut mencetuskan rasa panik dalam kalangan pemain ketika sedang menanti perkembangan dari Signal Iduna Park.

"Kami semua terkesan dengan apa yang berlaku," Mbappe memberitahu L'Equipe.

"Kami terdengar letupan kemudian berita menyusul. Kami berasa amat bimbang.

"Saya cuba menghubungi Ousmane (Dembele); dia menjelaskan apa yang berlaku. Saya memberitahunya bahawa kami semua akan menghadapinya bersama-sama.

"Saya enggan melalui saat seperti itu sekali lagi. 

"Kami mendoakan yang terbaik buat Bartra. Kami tahu apa yang berlaku ini bukan mudah untuk dihadapi.

"Tetapi sebagai profesional, kami perlu membiasakan diri dengan apa yang berlaku walaupun senario ini terlalu ekstrem. Kami cuba beraksi di tahap yang sepatutnya dalam aksi suku akhir Liga Juara-Juara."

Kembali dalam kesebelasan utama Leornado Jardim selepas menghabiskan dua perlawanan di bangku simpanan, Mbappe teruja untuk mengambil peluang yang hadir bagi menyumbat dua gol.

"Saya mahu melakar nama dalam perlawanan besar, apatah lagi diketepikan dalam dua perlawanan sebelum ini," tambahnya.

"Jurulatih memberitahu saya bahawa perlunya untuk melakukan perubahan secara bergilir-gilir. Saya mahu buktikan apa yang saya mampu sumbangkan.

"Kami gembira kerana berjaya mencetuskan impak."

Mbappe membuka tirai jaringan seawal minit ke-19 selepas Fabinbo terlepas peluang menyempurnakan sepakan penalti dua minit sebelum itu.

Monaco mendahului perlawanan 2-0 menuju ke hujung babak pertama apabila pemain tengah Dortmund, Sven Bender, menjaringkan gol sendiri.

Memasuki babak kedua, Dembele merapatkan jurang pada minit ke-57 sebelum Mbappe menemui gol kedua peribadi pada minit ke-79.

Dortmund cuba bangkit dengan gol Shinji Kagawa pada minit ke-84, namun jaringan penyamaan gagal ditemui ekoran tidak cukup masa.

 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen