Borussia Dortmund gagal menyempurnakan hidangan peluang, sekaligus terlepas peluang mencatat kemenangan ke atas Eintracht Frankfurt dalam saingan Bundesliga di tempat lawan, semalam.

Minggu lalu, Dortmund tewas buat kali pertama pada musim ini selepas tunduk kepada RB Leipzig sebelum diikat 1-1 oleh APOEL dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) sehingga menyebabkan anak-anak buah Peter Bosz berdepan kemungkinan tersingkir awal.

Menentang Frankfurt, Dortmund meraih pendahuluan selesa menerusi jaringan Nuri Sahin dan Maximilian Philipp tetapi ia disia-siakan menerusi dua gol yang diraih tuan rumah dalam masa lima minit oleh Sebastien Haller dan Marius Wolf.

"Ia satu perlawanan yang terbuka. Kedua-dua pasukan meraih banyak peluang.

"Apabila anda mendahului 2-0 dan mempunyai banyak kesempatan, anda perlu memenanginya. Malangnya, kami gagal.

"Kami tidak mempamerkan aksi bola sepak yang sepatutnya, terutama ketika bermain dari bawah," ujar Bosz.

Walaupun pengendali berusia 53 tahun itu kecewa dengan keputusan tersebut, dia memuji aksi Marc Bartra dan Julian Weigl yang bermain di luar posisi sebenar.

Bartra terpaksa beraksi sebagai pertahanan kanan manakala Weigl berpasangan dengan Neven Subotic di bahagian pertahanan tengah.

"Kami terpaksa melakukannya tanpa ramai pertahanan.

"Ia bukan sesuatu yang mudah untuk bermain dengan Subotic dan Weigl yang beraksi buat pertama kali pada posisi itu tetapi mereka melakukannya dengan baik," katanya.