Lionel Messi tidak pasti sama ada Piala Dunia di Russia akan menjadi aksi terakhirnya di pentas itu apabila menjelaskan ia bergantung kepada persembahan Argentina dalam edisi kali ini.

Messi akan memulakan pemburuan trofi pertamanya di peringkat antarabangsa apabila skuad kendalian Jorge Sampaoli itu turun menentang Iceland dalam aksi pembukaan Kumpulan D, malam ini.

Tatkala aksi di Russia mungkin menjadi persembahan terakhirnya dalam Piala Dunia, Messi menegaskan ia bergantung kepada prestasi pasukan.

"Dalam empat tahun terakhir, kami mengharungi perubahan dalam pemilihan. Sebagai tambahan, sukar buat kami untuk melayakkan diri ke Russia dan hanya melakukannya dalam aksi kelayakan yang terakhir," kata Messi.

"Bagaimanapun, kami tiba di Moscow dengan tenang dan keinginan yang tinggi. Kami telah bersedia selama beberapa minggu. Kami memiliki pemain yang hebat dan akan berjuang dalam setiap perlawanan.

"Ada yang bertanya sama ada ia akan menjadi Piala Dunia terakhir buat saya. Saya tidak tahu kerana tidak memikirkannya ketika ini. Sudah pasti ia bergantung kepada apa yang berlaku di Russia, bagaimana kami menamatkan kejohanan," ujarnya.

Messi sebelum ini terlepas empat kejuaraan utama di peringkat antarabangsa apabila tewas dalam final Piala Dunia 2014 serta Copa Amerika pada tahun 2007, 2015 dan 2016.