Ketua jurulatih Brazil, Tite, memberi amaran kepada semua pemainnya agar tidak memandang ringan aksi persahabatan menentang Jepun dan England sebagai persiapan bagi menghadapi saingan Piala Dunia, tahun depan.

Selepas mengungguli pusingan kelayakan zon Amerika Selatan dengan merakamkan hanya satu kekalahan daripada 18 perlawanan, Brazil kini muncul salah satu pasukan pilihan di Russia.

Pasukan Brazil kini berada di Lille, Perancis bagi menghadapi aksi persahabatan bertemu Jepun di Stade Pierre-Mauroy malam ini dan walaupun dijangka menampilkan skuad eksperimen yang diketuai oleh bintang Chelsea, Willian, Tite tidak mahu pemain-pemainnya memandang ringan perlawanan tersebut.

"Saya menamatkan latihan dengan imaginasi. Kami membayangkan kini kami berada di Piala Dunia.

"Hari ini kami akan menghadapi perlawanan Piala Dunia memandangkan kedua-dua pasukan sudah pun melayakkan diri ke Russia.

"Ini adalah satu persiapan pasukan," kata Tite.

Walaupun Jepun akan turun tanpa kelibat beberapa bintang utama seperti Shinji Kagawa, Shinji Okazaki dan Keisuke Honda, Tite tetap menjangkakan cabaran getir daripada gergasi Asia itu.

"Ia satu perlawanan yang sangat berlainan dengan aksi di Amerika Selatan," tambahnya.