SALZBURG 2 NAPOLI 3

Ketua jurulatih Napoli, Carlo Ancelotti, memuji persembahan pecah rekod Dries Mertens sebagai "terbaik" selepas kelab Serie A itu mengatasi Salzburg 3-2 dalam satu pertembungan menarik Liga Juara-Juara (UCL) di Austria awal pagi tadi.


Mertens meletakkan Napoli dua kali di depan sebelum Lorenzo Insigne yang masuk sebagai pemain gantian muncul peledak jaringan kemenangan, sekali gus menyaksikan skuad kendalian Ancelotti itu menghuni tangga teratas Kumpulan E.

Pemain kebangsaan Belgium, Mertens, kini mencetak 116 gol untuk menduduki tangga kedua di belakang bekas kapten, Marek Hamsik (121).

Dua jaringan tersebut menyaksikan Mertens melepasi legenda Napoli, Diego Maradona, dalam senarai pencetak jaringan terbanyak kelab itu serta memastikan pasukan itu di tangga teratas Kumpulan E dengan berkelebihan satu mata ke atas Liverpool.

"Ia merupakan malam yang terbaik buat kami," kata Ancelotti kepada Sky Sports Italia. "Kami telah berjuang, ia satu perlawanan yang menarik dan kami memberikan tumpuan sepanjang 90 minit. Ia merupakan keputusan yang memihak kami.

"Kami bermula dengan baik, mendahului permainan. Bergelut seketika sebelum mendapat semula rentak dalam perlawanan. Mereka yang hadir sebagai pemain gantian turut bermain dengan baik," katanya.

Ancelotti turut memuji 'super-sub', Insigne, kerana memastikan kemenangan buat Napoli.

"Saya telah berkata sebelum perlawanan, 'Anda akan bermain dan menentukan keputusan perlawanan ini. Tetapi saya tidak tahu sama ada anda akan bermain selama 10, 20 atau 30 minit'."

Pemain berusia 32 tahun, Mertens, tiba di Napoli pada 2013 dari PSV.

Musim terbaiknya bersama Napoli adalah pada 2016-17 apabila mencetak 28 gol dan meraih enam lagi bagi saingan lain.

Mertens sudah menjarinngkan tiga gol dalam saingan UCL ini di samping turut menjadi salah seorang penjaring ketika mengatasi Liverpool 2-0 bulan lalu.

Napoli seterusnya akan menerima kunjungan Salzburg dalam saingan UCL, 5 November ini.