Pengendali AC Milan, Vincenzo Montella, mula berasakan tekanan menjelang pertembungan dengan musuh tradisi, Inter.

Milan telah tewas dalam dua perlawanan liga sebelum ini dan berada di tangga ketujuh Serie A, tujuh mata di belakang Inter yang menduduki tangga ketiga, lawan yang bakal mereka temui pada 15 Oktober ini.

Montella menyatakan bahawa kekalahan kepada Sampdoria dan Roma amat mengecewakannya tetapi beliau percaya Milan masih mampu untuk menamatkan saingan dalam kelompok empat terbaik.

"Harapan dan jangkaan yang diletakkan kepada Milan terlalu tinggi," kata Montella.

"Kami mengetahui bahawa media turut memberikan terlalu banyak perhatian kepada kami.

"Kami sedang berusaha untuk meningkatkan semula pasukan ini dan cuba untuk mengakhiri saingan dalam kelompok empat terbaik. Kami tidak terlalu jauh, cuma gagal mempamerkan persembahan yang cemerlang," katanya.

Montella turut menafikan dakwaan bahawa kedudukannya semakin tergugat jika gagal untuk menghasilkan keputusan yang positif.

"Saya tidak kisah dengan spekulasi ini. Saya telah melakukan tugas ini untuk beberapa tahun dan menyedari risiko yang perlu diterima untuk mengendalikan pasukan seperti Milan," tambahnya.