Aksi berdepan Sevilla buat Bernat dijual -- Hoeness

Oleh Penulis Jemputan 20 Oktober 2018 1599
Aksi berdepan Sevilla buat Bernat dijual -- Hoeness
Presiden Bayern Munich, Uli Hoeness, mencetus sensasi apabila mendedahkan penghijrahan Juan Bernat dari Allianz Arena dilakukan selepas aksi buruk dalam saingan Liga Juara-Juara Eropah.

Ogos lalu, Bernat meninggalkan Bayern selepas empat musim di Jerman dan menyertai saingan Ligue 1 setelah menandatangani kontrak tiga tahun bersama Paris Saint-Germain (PSG).

Perpindahan pertahanan Sepanyol itu menghadirkan kejutan tatkala dia melakukan 113 penampilan bersama Bayern dan memenangi empat kejuaraan liga.

Bagaimanapun, dia terpaksa berpindah selepas mengharungi tempoh 45 minit yang buruk ketika aksi suku akhir Liga Juara-Juara berdepan Sevilla, April lalu.

Bayern menang 2-1 dalam aksi tersebut dan layak ke separuh akhir tetapi prestasi Bernat dalam babak pertama menyebabkannya digantikan selepas rehat.

Situasi itu membuatkan pihak pengurusan Bayern sangat kecewa sehingga membuat keputusan untuk menjual pemain berusia 25 tahun itu.

"Sewaktu kami beraksi di Seville, dia hampir membuatkan kami tersingkir.

"Kami membuat keputusan untuk menjualnya pada hari yang sama kerana dia hampir meragut kejayaan kami di pentas Liga Juara-Juara." kata Hoeness.
 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen