Pemain tengah Kuala Lumpur City FC, Akram Mahinan, mengakui tidak menyangka berada dalam perancangan jurulatih negara Tan Cheng Hoe untuk kempen kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 selepas lebih dua tahun tidak dipanggil dalam apa jua tugasan di peringkat antarabangsa.

Kelibat Akram ketika pemain negara menerima dos pertama suntikan vaksin Covid-19 di Putrajaya baru-baru ini mencuri tumpuan ramai pihak.

Ini berikutan pemain kelahiran Kulim, Kedah itu kembali berada dalam radar Cheng Hoe setelah disisihkan dalam lima perlawanan kelayakan terdahulu dan kali terakhir mewakili negara ketika aksi kelayakan Piala Dunia/Piala Asia menentang Vietnam pada Oktober 2019.

Sememangnya, kemampuan Akram menambat semula hati Cheng Hoe hadir menerusi aksi mantap bersama The City Boys dalam aksi awal liga musim ini.

"Saya sangat bersyukur kerana kekal dalam perancangan Cheng Hoe. Ia merupakan penyuntik semangat untuk terus beraksi cemerlang selepas ini," kata Akram.

Sementara itu, pertahanan Johor Darul Ta'zim II, Syazwan Andik, mengakui pemilihannya dalam skuad besar Harimau Malaya sebagai nyawa kedua untuk kembali menyarung jersi skuad kebangsaan.

Ini selepas bekas tonggak skuad B-23 negara itu tidak dipanggil menyertai kem latihan pusat yang diadakan di Johor Bahru Mac lalu.

"Saya berasa teruja kerana kembali dalam skuad kebangsaan. Prestasi dalam saingan Liga Perdana perlu dipamerkan sebaik mungkin untuk diserap ke dalam skuad kebangsaan," kata Syazwan.