Igor Akinfeev muncul wira buat Russia selepas menyelamatkan dua sepakan penalti untuk mencipta sensasi menyingkirkan Sepanyol daripada saingan Piala Dunia, sekali gus mengesahkan tiket ke suku akhir selepas permainan 90 minit berakhir 1-1 di Moscow.

Sepakan Koke dan Iago Aspas dinafikan oleh penjaga gol Russia itu walaupun keseluruhan permainan menyaksikan juara 2010, Sepanyol, mendominasi perlawanan tetapi gagal mencipta peluang terbuka, menyebabkan La Roja tewas 4-3 menerusi penentuan sepakan penalti.

Sergei Ignashevich muncul penjaring gol sendiri paling tua dalam sejarah Piala Dunia setelah pemain berusia 38 tahun itu memberikan Sepanyol pendahuluan di Stadium Luzhniki.

Hantaran pemain sayap, Isco, menyaksikan perebutan bola di antara Sergio Ramos dan Ignashevich, sebelum pertahanan Russia itu tertampan bola ke dalam gawang sendiri dengan tumitnya tatkala dia terdesak untuk menyekat kemaraan kapten Sepanyol itu.

Bagaimanapun, Russia menyamakan kedudukan pada minit ke-41 selepas Artem Dzyuba menyempurnakan sepakan penalti hasil daripada tandukan awalnya yang terkena tangan Gerard Pique.

Sepanyol, yang agak membosankan, jelas gagal memecahkan kubu lawan dan dinafikan peluang untuk meraih sepakan penalti selepas penilaian Video Bantuan Pengadil (VAR), yang menyaksikan aksi diheret ke penentuan penalti.

Akinfeev menampan sepakan penalti Koke untuk memberikan kelebihan buat Russia dan David De Gea gagal mengekang keempat-empat sepakan pasukan tuan rumah sebelum tendangan Aspas dinafikan oleh kaki Akinfeev untuk mencetuskan kegembiraan buat pasukannya.

Aleksandr Golovin memberikan amaran awal buat pasukan bimbingan Fernando Hierro itu tetapi hantaran lintangnya dinafikan dan sepakan sudut Aleksandr Samedov selepas itu terlalu rendah.

Sepanyol akhirnya memperoleh pendahuluan menerusi situasi bola mati pada minit ke-12.

Sepakan percuma Isco dari sebelah kanan menyaksikan Ignashevich bergelut dengan Ramos, namun bola akhirnya melepasi kawalan Akinfeev selepas terkena tumit pertahanan veteran itu walaupun kapten Sepanyol itu menganggap dirinya yang mencipta jaringan tersebut.

Sepanyol menguasai perlawanan tetapi gagal memecah kubu lawan dan peluang terbaik hadir buat Russia pada minit ke-36 selepas Golovin melepaskan rembatan lencong yang tersasar susulan usaha Dzyuba mengatasi Ramos untuk menanduk bola.

Dzyuba yang menyaksikan tandukannya lima minit kemudian terkena tangan Pique, memberikan keceriaan buat penyokong tuan rumah sebelum separuh masa pertama tamat, selepas Akinfeev bertindak cemerlang menafikan usaha Diego Costa, sebelum itu.

Jordi Alba dan Costa terlepas peluang keemasan selepas perlawanan bersambung sambil Sepanyol cuba meningkatkan kelajuan permainan.

Pengurus Russia, Stanislav Cherchesov, yang tampak dapat menghidu satu keputusan mengejut bakal berlaku, memasukkan pemain tengah Villareal, Denis Cheryshev, yang telah menyumbat tiga gol ketika peringkat kumpulan sambil Sepanyol membawa masuk pemain yang telah tampil 21 kali berturut-turut dalam kesebelasan permulaan kejohanan utama, Andres Iniesta.

Kemasukan Iniesta hampir memberikan hasil pada minit ke-58 tetapi Akinfeev merebahkan badan ke sebelah kanan untuk menepis percubaan pemain tengah Barcelona itu sebelum dia sekali lagi menahan percubaan Iago Aspas yang mengutip bola muntah.

Akinfeev turut menyelamatkan tandukan Pique dan menafikan percubaan Rodrigo Moreno dalam masa tambahan sambil kemasukan Aleksandr Erokhin selaku pemain gantian keempat mencipta sejarah baru Piala Dunia.

Pique dan Ramos dilihat cuba menggunakan kesempatan bola mati tetapi selepas penilaian Video Bantuan Pengadil (VAR), pengadil perlawanan, Bjorn Kuieprs, enggan mengendahkan rayuan Sepanyol.

Tuan rumah menyempurnakan kesemua sepakan penalti mereka dan selepas Akinfeev mudah menepis sepakan Koke, Russia tampak berada di landasan terbaik untuk mencipta salah satu kejutan terbesar dalam sejarah Piala Dunia.

Mimpi ngeri De Gea dalam Piala Dunia juga sempurna selepas dia gagal menyekat keempat-empat sepakan penalti lawan dan tekanan besar yang digalas Aspas menyaksikan sepakannya dinafikan oleh kaki Akinfeev.

Kemenangan pertama Russia ke atas Sepanyol sejak pembubaran Soviet Union membolehkan mereka menempah tiket ke suku akhir dan akan bertemu sama ada Croatia atau Denmark.