Kapten Manchester City, Vincent Kompany, bakal terlepas perlawanan utama Liga Juara-Juara Eropah menentang Borussia Monchengladbach awal pagi esok apabila masih berada di luar ketika sesi latihan hari ini.

Pemain antarabangsa Belgium itu terpaksa direhatkan ketika City meraih kemenangan 2-1 ke atas Crystal Palace dalam aksi Liga Perdana Inggeris, Ahad lalu, selepas mengadu penglihatannya kabur.

City mengesahkan bahawa pertahanan itu mungkin tidak akan mengambil risiko dalam pertemuan di Jerman, tetapi pemain tengah, Fabian Delph, sedia untuk diturunkan buat kali pertama sejak Ogos lalu.

"Fabian Delph kembali menjalani latihan menjelang kunjungan City ke Monchengladbach tetapi Vincent Kompany nampaknya sedia untuk dikeluarkan," kata kelab itu dalam satu kenyataan.

"Ketua pasukan City itu terpaksa dikeluarkan menentang Crystal Palace pada Ahad selepas mengalami penglihatan kabur dan tidak akan dipertaruhkan di Jerman.

"Delph tidak diturunkan untuk pasukan utama sejak akhir Ogos selepas khidmatnya tidak digunakan ketika menentang West Ham.

"Dia memerlukan pembedahan pada masalah pangkal paha dan kepulangannya akan memberi Pep Guardiola pilihan di bahagian tengah."

John Stones, Ilkay Gundogan dan Gael Clichy semuanya mengambil bahagian dalam sesi latihan selepas mereka terlepas kemenangan di Selhurst Park.

Yaya Toure -- yang menjaringkan kedua-dua gol selepas menerima panggilan mengejut untuk menentang Palace -- juga berlatih dengan pasukan utama walaupun dia tidak layak untuk bermain dalam Liga Juara-Juara Eropah kerana Guardiola tidak menyenaraikannya.

Kemenangan buat skuad Guardiola ke atas Monchengladbach akan menjamin tempat mereka dalam pusingan 16 terakhir dengan berbaki satu perlawanan.