Kelibat pemain muda Kedah, Muhd Akhyar Abdul Rashid, mencuri perhatian di sebalik kehampaan pasukan negara gagal mencari kemenangan ketika berdepan Mongolia di Stadium Nasional, Bukit Jalil, malam tadi.

Akhyar dimasukkan selaku pemain gantian pada permulaan babak kedua selepas Mahali Jasuli dilihat gagal memberikan impak besar kepada skuad Harimau Malaya.

Kelincahan Akhyar ternyata memberi banyak masalah kepada pertahanan Mongolia yang bertungkus-lumus di sepanjang perlawanan untuk mengekang setiap gerakan dan larian deras pemain bertubuh kecil itu.

Jaringan pada minit ke-65 merupakan gol sulung anak muda berusia 19 tahun itu bersama skuad senior negara dalam penampilan pertamanya, sekali gus membuka mata banyak pihak bahawa dia perlu diberikan lebih perhatian.

"Syukur saya dapat menjaringkan gol pertama untuk pasukan kebangsaan. Ia membuatkan saya bangga walaupun bukan rezeki kami untuk mencipta kemenangan," katanya.

Sementara itu, jurulatih Mongolia, Michael Weiss, turut memuji kelibat Akhyar sambil mengakui terkejut melihat persembahannya.

Dia juga mendedahkan kurang mengetahui kemampuan Akhyar sebelum ini dan menyifatkan anak-anak buahnya agak bernasib baik tidak tewas dalam perlawanan berkenaan.

"Gol kedua agak mudah dilepaskan tetapi pemain yang memakai jersi nombor 7 jelas berada dalam kelas tersendiri. Dia memberikan masalah besar buat kami," ujar Weiss.