Sepuluh anak muda Malaysia telah tiba di Singapura untuk memulakan perjalanan kem bola sepak Explorer Asia Allianz (AJFC) bermula hari ini hingga Jumaat ini.

Mereka yang mara ke pusingan seterusnya kini memulakan misi bagi merebut dua slot untuk menjalani latihan eksklusif bersama kelab gergasi Jerman, Bayern Munich.

Selain Malaysia, pasukan-pasukan terpilih daripada Asia turut tiba seperti Indonesia, China, Laos dan Filipina.

Seramai 43 pemain secara kesuluruhan akan dikurangkan kepada 18 terbaik bagi mewakili negara masing-masing.

"Perasaan apabila tiba di sini adalah gembira. Ini kali pertama saya ke Singapura, jadi dapat melihat suasana di sini," kata pemain zon Utara, Darwin Munady Amly.

"Saya akan berjumpa dengan jurulatih daripada luar serta mempelajari bermain bola sepak. Diharapkan saya dapat beraksi dengan baik," tambah pemain zon Pantai Timur, Muhammad Syaahir Saiful Nizam.

Sesi latihan pertama akan bermula esok memandangkan hari ini menjadi sesi lawatan dan suai kenal dalam kalangan peserta.