Jurulatih Program Antarabangsa FC Bayern Munich, Thomas Dhollner, meletakkan teknik asas sebagai kunci utama kepada peserta Kem Explorer Antarabangsa Allianz Munich Jerman (AJFC) bagi memulakan karier sebagai pemain bola sepak.

Barisan pemain menjalani latihan intensif yang dibimbingnya pada sebelah pagi.

Selain itu, jurulatih kelahiran Jerman itu menggesa peserta memupuk disiplin tinggi sebagai pemain bola sepak seawal usia 16 tahun lagi.

Dhollner menegaskan peserta perlu terlebih dahulu memahami kemahiran asas dalam bola sepak, iaitu mengawal, menghantar dan menggelecek bola.

"Ia asas sebagai pemain bola sepak, itulah yang kami tumpukan," katanya di padang latihan Munich, Jerman.

Beliau juga menggesa pemain agar memanfaatkan peluang apabila terpilih dalam program itu.

"Mereka berpeluang untuk melihat skuad utama Bayern berlatih dan menjalani tugasan (sebagai pemain bola sepak). Mereka perlu melihat betapa sukarnya (menjadi pemain profesional), termasuk usaha yang dicurahkan mereka.

"Pemain perlu sentiasa memperbaiki perkara asas permainan dan mungkin usaha itu berhasil buat mereka," katanya lagi.

Pada sebelah petang, mereka berpeluang berjumpa dengan pemain tengah kelab tersohor itu, Leon Goretzka, selain lawatan rasmi di Alliaz Arena.