Ajax menggantung pengurus, Marcel Keizer, dan jurulatih, Hennie Spijkerman dan Dennis Bergkamp, daripada sebarang tugasan.

Juara Eropah sebanyak empat kali itu melantik Keizer sebagai pengganti Peter Bosz pada Jun lalu dengan perjanjian selama dua tahun dan pilihan tambahan semusim lagi.

Sebaliknya, kontrak itu hanya sempat bertahan enam bulan apabila Ajax memutuskan untuk melepaskan ketiga-tiga individu berkenaan daripada memegang peranan itu lagi.

Ajax, yang kali terakhir memenangi Eredivisie pada 2014 di bawah kendalian Frank de Boer, terkandas di peringkat kelayakan Liga Juara-Juara (UCL) sebelum turut gagal meraih tiket dalam Liga Europa apabila tewas kepada Rosenberg, Ogos lalu, biarpun tampil dengan status naib juara kejohanan musim lalu.

Kelab yang berpangkalan di Amsterdam itu sedang menduduki tangga kedua liga, lima mata di belakang PSV selepas 17 perlawanan.

Mereka telah memenangi tiga perlawanan terakhir, termasuk kemenangan ke atas PSV dan pasukan di tempat ketiga, AZ Alkmaar, sebelum dikejutkan dengan penyingkiran dalam saingan KNVB Beker kepada Twente, dua hari lalu.

"Pucuk pimpinan kelab akan bercakap dengan mereka mengenai penamatan kontrak," menurut satu kenyataan rasmi Ajax.

"Pengurusan kelab tidak cukup yakin bahawa cita-cita Ajax akan direalisasikan oleh mereka. Keputusan yang mengecewakan juga merupakan alasan di sebalik keputusan ini.

"Mengenai Dennis Bergkamp, ​​terdapat juga perbezaan pendapat mengenai dasar teknikal yang akan dilaksanakan."

Tambah Pengurus Besar, Edwin van der Sar: "Kami mengharungi musim panas dan permulaan musim yang buruk. Dari sudut pandangan sukan, kegagalan dalam kempen Eropah adalah paling mengecewakan.

"Terutama apabila (Pengarah Bola Sepak) Marc Overmars dan saya sering bercakap beberapa bulan selepas itu tentang ketidakstabilan berterusan skuad utama.

"Kami tidak yakin bahawa kami akan mencapai tahap yang kami sedang usahakan dengan cara ini, saya berasa kesal mengenainya.

"Bersama-sama dengan lembaga penyeliaan, kami sebagai pengurus ingin berterima kasih kepada Marcel, Dennis dan Hennie atas usaha mereka untuk kelab ini," katanya lagi.