Aiyyman tidak menyesal tinggalkan negeri kelahiran

Oleh Willie Jude 13 April 2020 347
Aiyyman tidak menyesal tinggalkan negeri kelahiran
Bekas pertahanan Sabah, Mohd Aiyyman Shah Johny Abdullah, berkata dia tidak pernah menyesal menerima tawaran untuk melatih skuad Piala Presiden Kuching FA walaupun terpaksa meninggalkan negeri kelahirannya.

"Apabila dihubungi (oleh pihak Kuching FA), saya tidak berfikir panjang dan terus menerima tawaran untuk menjadi jurulatih skuad Piala Presiden pasukan itu, saya tidak pernah menyesal dengan keputusan itu.

"Sememangnya saya mahukan satu cabaran baru dan oleh sebab itu, saya juga membuat keputusan untuk tidak melanjutkan kontrak saya bersama Sekolah Sukan Malaysia Sabah (SSMS)," katanya.

Aiyyman, yang baru berusia 38 tahun, sebelum ini bertugas sebagai penolong ketua jurulatih untuk skuad wanita B-17 SSMS.

"Saya menerima panggilan daripada pengurus pasukan (Kuching FA) dan saya amat berterima kasih dengan peluang yang diberikan.

"Ini kali pertama saya melatih di luar Sabah," katanya yang mempunyai pengalaman melatih wakil Sabah dalam Piala FAM pada 2014, penolong jurulatih skuad wanita yang bersaing dalam Piala AFF dan Sukan SEA serta ketua jurulatih pasukan wanita dan skuad Piala Belia Sabah.

Sementara itu, prestasi skuad kendalian Aiyyman itu pada awal saingan Piala Presiden musim ini boleh dikatakan baik apabila mencatat tiga kemenangan dan hanya tewas sekali.

"Kami memiliki ramai pemain baru dalam pasukan, namun sasaran kami adalah untuk layak ke pusingan kedua," katanya lagi.

Untuk rekod, saingan Piala Presiden musim ini masih lagi dihentikan ekoran pandemik Covid-19.

Tentang Penulis

Willie Jude

Komen