Aidil saran Cheng Hoe terus kendali Harimau Malaya

Oleh Staff Writer 16 Disember 2018 1406
Aidil saran Cheng Hoe terus kendali Harimau Malaya
Pertahanan negara, Aidil Zafuan Abdul Radzak, menyarankan khidmat Tan Cheng Hoe selaku pengendali Harimau Malaya harus dikekalkan.

Cheng Hoe telah memimpin skuad negara melangkah ke final Piala Suzuki AFF 2018, namun gagal membantu pasukan menamatkan kemarau kejuaraan yang kali terakhir dimenangi pada 2010 apabila tewas kepada Vietnam 3-2 secara agregat.

Aidil mengakui Cheng Hoe sudah membuktikan kemampuannya menerusi kejutan layak ke final dengan menyingkirkan Thailand dalam separuh akhir.

"Bagi saya, Cheng Hoe telah membuat yang terbaik. Walaupun saya tidak lagi bersama Malaysia selepas ini, beliau mampu menghasilkan keputusan yang positif buat negara," kata Aidil.

"Saya sangat menghormati Cheng Hoe kerana beliau telah menerapkan falsafah yang tersendiri. Saya berharap beliau diberikan peluang untuk terus mengendalikan skuad negara," kata kapten negara, Zaquan Adha Abdul Radzak.

Bagaimanapun, kegagalan untuk muncul juara Piala AFF 2018 bukan penamat buat skuad Harimau Malaya, terutama kepada barisan pemain muda yang berpeluang menebus kehampaan mereka dalam kejohanan edisi seterusnya.

"Saya akan mengambil pengajaran daripada pencapaian ini," kata pemain tengah negara, Syamer Kutty Abba.

"Saya masih belum puas dengan pencapaian ini dan akan berusaha untuk meningkatkan lagi prestasi untuk saingan akan datang," kata penyerang negara, Safawi Rasid.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen