ARGENTINA 0 PARAGUAY 1

Nasib malang terus menimpa Argentina apabila tewas mengejut 1-0 kepada pasukan pelawat, Paraguay, dalam aksi kelayakan Piala Dunia 2018 di Cordoba.


Anak buah Egardo Bauza turun tanpa kelibat tonggak utama, Lionel Messi, yang masih dihimpit kecederaan.

Albiceleste ketinggalan pada minit ke-17 apabila Paraguay melancarkan serangan balas, dengan Derlis Gonzales melepaskan rembatan kencang untuk menewaskan penjaga gol Argentina, Sergio Romero.

Selepas itu, segala-galanya serba tidak menjadi buat barisan pemain Argentina apabila gagal memanfaatkan peluang terhidang.

Peluang terbaik hadir menerusi sepakan penalti, namun sepakan bintang Manchester City, Sergio Arguero, ditepis oleh penjaga gol Paraguay, Justo Villar.

Jaringan Marcos Rojo pada minit ke-53 pula dibatalkan pengadil kerana didakwa berada dalam kedudukan ofsaid.

Kekalahan ini semakin menyukarkan peluang skuad Albiceleste untuk menempah slot automatik ke Russia, apatah lagi lawan mereka selepas ini adalah Brazil, dan Argentina berkemungkinan besar terpaksa mengharungi perlawanan play off.