Jurulatih skuad bola sepak negara, Datuk Ong Kim Swee, akan melakukan sedikit rombakan terhadap barisan utamanya setelah kembali diperkuatkan beberapa pemain tonggak untuk aksi persahabatan antarabangsa menentang Afghanistan di Stadium Shah Alam, esok.

Kim Swee mengetepikan lima pemain ketika pertemuan menentang Singapura, Jumaat lalu.

Mereka ialah Khairul Fahmi Che Mat, Matthew Davies, Ronny Harun, Nasir Basharuddin dan Ahmad Khuzaimi Piee.

Sudah pulih sepenuhnya daripada kecederaan, kelima-kelima pemain ini sedia diturunkan bagi menggalas misi pasukan bertemu Afghanistan.

"Mereka kembali cergas sepenuhnya dan sudah tentu saya akan meneliti situasi terlebih dahulu dan kemungkinan besar mereka akan berada dalam senarai pasukan sebelum berdepan Afghanistan.

"Khairul Helmi alami kecederaan yang tidak serius di bahagian lutut dan Azrif Nasrulhaq mengalami kecederaan lama di bahagian buku lali. Pemain lain tidak berdepan masalah kecuali sedikit keletihan," katanya.

Kim Swee, bagaimanapun, mengakui anak buahnya berdepan ujian lebih berat bertemu Afghanistan yang sudah tiba awal di Malaysia dengan rata-rata pemainnya dikatakan mempunyai susuk fizikal tegap dan skil individu yang tinggi.

"Afghanistan mempunyai ramai pemain yang beraksi di Eropah. Bagi saya, mereka pasukan yang lebih mantap berbanding Singapura."