Jawatankuasa Eksekutif Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), hari ini mengesahkan Kejohanan AFC B-16 dan B-19 bagi tahun ini terpaksa ditunda sehingga awal tahun depan.

Menyedari pandemik COVID-19 menggangu perjalanan kejohanan musim ini, AFC memilih untuk meletakkan kebajikan pemain muda -- dalam mengharungi risiko kesihatan perjalanan keluar negara -- sebagai keutamaan.

Di atas dasar itu, Kejohanan AFC B-16 dan B-19, yang masing-masing akan dianjurkan di Bahrain dan Uzbekistan, akan ditunda ke awal tahun depan.

"Kami sudah memulakan perbincangan dengan tuan rumah mengenai tempoh mana yang paling sesuai (untuk menganjurkan kejohanan itu)," kata Setiausaha Agung AFC, Datuk Windsor John, kepada Nadi Arena.

"Kami akan berbincang dengan kesemua 16 pasukan dan peringkat B-16 akan lebih drastik kerana ia melibatkan murid sekolah.

"Kami perlu berbincang dengan kesemua persatuan untuk mendapatkan satu tempoh yang paling sesuai.

"Saya fikir kami perlu menyelesaikan semua kejohanan peringkat kelayakan sebelum April depan. Itulah perancangannya," katanya.