Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) memutuskan untuk menanguhkan semua perlawanan dan pertandingan dalam bulan Mei dan Jun depan sehingga notis selanjutnya dikeluarkan.

Ia disebabkan pelaksanaan pelbagai langkah pencegahan dan sekatan perjalanan yang dikenakan oleh beberapa negara dalam usaha membendung penularan Covid-19.

Dalam satu kenyataan hari ini, AFC berkata keputusan itu juga selaras dengan komitmen pihaknya dalam memelihara kesejahteraan dan keselamatan pemain, pasukan yang mengambil bahagian, pegawai, peminat dan semua pemegang taruh semasa tercetusnya pandemik berkenaan.

“AFC juga akan sentiasa berhubung dan berbincang dengan ahli persatuan yang mengambil bahagian dalam Kejohanan Kelab AFC, dan akan meninjau semua kemungkinan pilihan untuk bertanding dalam Liga Juara-Juara AFC dan Piala AFC,” katanya.

Badan pentadbir bola sepak Asia itu memantau dengan rapi perkembangan pandemik itu dan sebelum ini telah menangguhkan semua perlawanan yang dijadual berlangsung dalam Mac dan April selepas mengadakan siri mesyuarat tergempar di Delhi, Doha, Dubai dan Kuala Lumpur.

-- BERNAMA