AFC peruntuk slot 1+2 untuk Malaysia

Oleh Staff Writer 28 Januari 2020 7834
AFC peruntuk slot 1+2 untuk Malaysia
Setiausaha Agung Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), Datuk Windsor Paul, menyifatkan tambahan slot dalam Piala AFC sebagai peluang terbaik buat Malaysia memungut mata untuk meningkatkan ranking pertandingan kelab. 

Malaysia menerima khabar gembira apabila AFC memperuntukkan slot 1+2 untuk penyertaan wakil negara dalam kejohanan melibatkan AFC.

Membabitkan satu slot automatik Liga Juara-Juara Asia (ACL) dan dua slot automatik Piala AFC, perkembangan positif ini didorong oleh ranking pertandingan kelab (MA). 

Ia menyaksikan Malaysia berada di kedudukan kesembilan Asia Timur sekali gus tiga pasukan negara akan beraksi secara kompetitif di peringkat Asia mulai 2021.

"Malaysia mempunyai peluang untuk mengutip mata bagi meningkatkan lagi ranking MA Malaysia. Ia bermakna setiap kemenangan dan seri memberikan mata buat Malaysia," kata Windsor.

AFC sebelum ini memberikan satu tiket automatik dan satu pasukan lagi perlu mengharungi perlawanan playoff kepada Liga M bagi saingan ACL untuk musim 2019-2020.

Mekanisme pemilihan bagi mengisi slot kedua Piala AFC 2021 akan ditentukan Liga Bolasepak Malaysia (MFL) namun ia perlu diumumkan sebelum liga bermula.

"Setiap pasukan harus sedia maklum sebelum musim bermula untuk menggunakan Piala FA atau Piala Malaysia sebagai tiket kedua beraksi dalam Piala AFC nanti."

Sementara itu, Setiausaha Agung FAM Stuart Ramalingam, mengakui badan induk itu amat menghargai pendekatan AFC berhubung tambahan slot untuk kempen Asia mulai 2021.

Beliau percaya perubahan itu dapat memastikan negara membangun dalam bola sepak seperti Malaysia bersaing di peringkat lebih tinggi walaupun peluang ke pentas ACL menjadi terhad.

"Saya berasakan tiga slot pasukan beraksi di pentas Asia dapat meningkatkan mentaliti pencabar Liga Super untuk bersaing merebut peluang tersebut," kata Stuart.


Editor: Ammar Hakim

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen