Status perlawanan pusingan kelayakan Piala Dunia/Piala Asia sepanjang bulan ini masih belum diputuskan oleh Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA).

Setiausaha Agung Konfiderasi Bolasepak Asia (AFC), Datuk Windsor John, mengesahkan bahawa keputusan itu hanya akan dikeluarkan selepas menyuarat tergempar melibatkan AFC dan FIFA di Zurich hari ini.

AFC sudah membuat keputusan untuk menangguhkan kesemua aksi kelayakan berkenaan -- yang turut melibatkan perlawanan Malaysia menentang Emiriah Arab Bersatu (UAE), 27 Mac ini -- namun disebabkan ia turut melibatkan kelayakan ke Piala Dunia 2022, kelulusan terakhir memerlukan persetujuan FIFA sebagai badan induk bola sepak dunia.

"FIFA mempunyai perancangan panjang sehingga ke 2022.

"Jadi, mereka perlu mengambil kira faktor keseluruhan sebelum membuat keputusan mengenai sebarang penundaan," katanya.

AFC memutuskan untuk menangguh perlawanan itu selepas satu meyuarat tergempar di Kuala Lumpur, Isnin lalu.

Keputusan akhir dijangka akan diketahui selewat-lewatnya esok

"Menunda satu-satu perlawanan itu merupakan satu keputusan (yang perlu dibuat).

"Menunda ke tarikh yang mana juga merupakan satu keputusan (lain).

"Kami juga perlu mengambil kira (tarikh) bagi pusingan seterusnya.

"Jadi, itulah yang akan diperbincangkan bersama FIFA," tambahnya.