Pemain tengah skuad B-19 negara, Zahril Azri Zabri, mendedahkan kemarahan ketua jurulatih, Bojan Hodak, dalam bilik persalinan sebelum menuju babak kedua menjadi punca mengapa mereka mampu bangkit memperagakan aksi lebih mantap untuk mengikat Tajikistan 2-2 dalam Kejohanan AFC B-19, kelmarin.

Zahril menerima hakikat yang dia dan rakan-rakan bersikap sambil lewa selepas mendapat gol awal menerusi Muhd Hadi Fayyadh Abdul Razak sehingga membenarkan lawan bangkit mendahului 2-1.

Situasi itu meletakkan mereka teruk dimarahi Hodak pada masa rehat kerana kurang fokus dan corak permainan mereka banyak berubah pada baki 45 minit seterusnya.

Walaupun sekadar satu mata, Zahril mengakui penekanan Hodak telah mengubah keadaan dan banyak pengajaran yang mereka telah diambil sebelum menghadapi China, esok.

"Kami telah mendahului permainan, ia menyebabkan kami selesa sebelum dibolosi dua jaringan. Kami cuba mengambil positif dan akan berusaha untuk mengatasi China esok," katanya.

Zahril adalah antara pemain yang beraksi selama 180 minit dan merupakan nadi bahagian tengah skuad B-19 negara.

Dalam dua perlawanan lalu, dia digandingkan dengan dua pemain berbeza di bahagian tengah.

Sama ada K. Thivandaran atau Ammar Akhmal Alias, pemain Felda United ini boleh menyesuaikan diri kerana telah memahami gaya permainan masing-masing.

"Saya telah bergandingan bersama Ammar agak lama dan telah memahami corak permainannya. Sejak tahun lalu, saya telah beraksi bersama Thivandaran dan mula memahami kualiti yang dimilikinya."