AFC B-19: Tajikistan liat, agresif, kata Hodak

Oleh Penulis Jemputan 22 Oktober 2018 959
AFC B-19: Tajikistan liat, agresif, kata Hodak
Tajikistan cukup liat dan agresif, itu pemerhatian awal jurulatih skuad B-19 negara, Bojan Hodak, yang kini perlu memerah idea mencari kelemahan lawan dalam aksi hidup mati skuad negara dalam Kejohanan AFC B-19 di Stadium Patriot Candrabhaga, Bekasi esok. 

Hodak jujur tidak terkejut dengan kemenangan lawannya itu mengejutkan China 1-0 dalam satu lagi perlawanan Kumpulan D berdasarkan prestasi Tajikistan daripada pusingan kelayakan.

Terdapat beberapa pemain yang mempunyai skil individu tinggi serta konsisten memberikan tekanan kepada lawan, dan Hodak mahu barisan pemainnya meningkatkan lagi tahap intensiti bagi mengimbangi kelebihan Tajikistan.

"Tajikistan memiliki kemahiran teknikal dan agresif ketika menyerang. Mereka memiliki beberapa pemain yang berkualiti dan kami telah menilai corak permainan mereka sebelum menghadapi aksi esok," kata Hodak.

Tajikistan pula, yang mahu memburu satu lagi kemenangan untuk mengukuhkan peluang ke suku akhir, enggan mengambil mudah cabaran skuad negara.

Menurut ketua jurulatihnya, Ergashev Mubin, skuad negara ada karakter tersendiri yang perlu diawasi pemainnya apabila memberi tentangan sengit kepada Arab Saudi sebelum tewas 1-2.

"Saya menyaksikan perlawanan Arab Saudi dan Malaysia, ia pasti satu perlawanan yang sukar apabila kami bertemu Malaysia. Saya telah beritahu sebelum ini yang kesemua pasukan dalam kumpulan ini adalah kuat dan sesiapa sahaja boleh menang," kata Mubin.
 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen