16 pasukan yang bersaing dalam pusingan akhir Kejohanan AFC B-19 menyaksikan Malaysia bakal berhitung dengan Qatar, Yaman dan Tajikistan dalam Kumpulan D.

Ini kali ketiga skuad remaja negara mara layak ke peringkat undian kumpulan menerusi lapan edisi penganjuran terakhir.

Malaysia akan memanjangkan perseteruan dengan Tajikistan sejak edisi dua tahun lalu apabila kembali bertembung di Uzbekistan pada 14 hingga 31 Oktober depan.

Pengendali utama skuad B-19 negara, Brad Maloney, bersikap tenang di sebalik undian itu yang akan turut menjadi kejohanan kelayakan Piala Dunia.

"Ia misi yang menarik tetapi saya tidak mahu meletakkan sasaran tertentu.

"Saya mempunyai kumpulan pemain yang bagus dan yakin kami boleh mencapai kejayaan," kata jurulatih kelahiran Australian itu.

Dalam masa sama, bekas pengendali Harimau Malaya, Datuk K Rajagobal, optimis peluang skuad pelapis negara untuk menyerlah dalam kejohanan itu.

"Kalau kita tanamkan keyakinan (kepada pemain) menerusi sokongan semua pihak.

"Ia tidak mustahil, pemain kami mempunyai peluang," katanya.

Pemerhati sukan, Haresh Deol, pula beranggapan Maloney perlu membuat kerja rumah sambil tidak memandang rendah terhadap sebarang lawan.

"Berdasarkan rekod, Yaman telah menunjukkan sedikit peningkatan tetapi kita tidak boleh mengetepikan kemampuan mereka," katanya pula.

Sementara itu, juara edisi lalu, Arab Saudi, dalam Kumpulan C di samping Australia, Vietnam dan Laos.