"Saya sedia rebut slot dalam skuad negara," kata penjaga gol Terengganu FC (TFC), Rahadi Azli Rahalim, menjelang Kejohanan AFC B-19 di Uzbekistan, Oktober depan.

Pengalaman beraksi di pentas tertinggi Liga Super, menurutnya, memberikan lebih keyakinan dan menjadi tonik terbaik untuk berada dalam perancangan ketua jurulatih, Brad Maloney.

Terlepas pusingan kelayakan di Phnom Penh, Kemboja tahun lalu akibat kecederaan lutut, Rahadi juga menjelaskan dia menyasarkan untuk terpilih dalam senarai akhir 23 pemain.

"Nasib agak tidak menyebelahi saya sebelum ini ketika Bojan Hodak menjadi jurulatih, saya mengalami kecederaan buku lali.

"Tahun lalu, saya turut dipanggil ke kem latihan pusat tapi jurulatih (Maloney) terpaksa menggugurkan saya kerana kecederaan lutut ketika final Piala Belia.

"Boleh katakan saya buka tahun 2020 dengan positif kerana diberikan kepercayaan beraksi untuk TFC dalam Liga Super dan saya mahu teruskan momentum itu," ujar Rahadi.

Skuad Harimau Muda kendalian Maloney akan memulakan kempen di Uzbekistan menentang Tajikistan (16 Oktober) disusuli Qatar (19 Oktober) dan Yemen (22 Oktober).

Kredit foto: Terengganu FC (TFC)