AFC B-19: Nurfais mahu Malaysia guna kepantasan

Oleh Penulis Jemputan 25 Oktober 2018 1409
AFC B-19: Nurfais mahu Malaysia guna kepantasan
Walaupun majoriti skuad China mempunyai susuk fizikal yang tinggi, pemain tengah skuad B-19 kebangsaan, Nurfais Johari, berasa itu bukan satu masalah buat mereka yang melihat lawan juga memiliki kekurangan selepas tewas dua kali berturut-turut dalan Kejohanan AFC B-19 kali ini.

Nurfais tidak gentar terhadap kelebihan pemain China yang rata-ratanya berketinggian 1.8 meter ke atas kerana berdasarkan pemerhatiannya, lawan memiliki sedikit kekurangan dalam aspek kepantasan. 

Dia menjelaskan faktor itu perlu digunakan pemain negara jika mahu melakukan serangan berbanding corak hantaran bola tinggi yang mampu memberi kelebihan kepada China.

Selain itu, Nurfais juga berharap mampu menamatkan penantian jaringan dalam Kejohanan AFC kali ini apabila berdepan China di Stadium Pakansari, esok.

"Berdepan China, mereka memiliki pemain yang tinggi. Kami agak rendah tetapi pergerakan lebih pantas. Itu jadi kelebihan kami untuk masuk ke dalam kotak penalti.

"Saya ingin menjaringkan gol tetapi tiada rezeki. Saya masih mencuba," kata Nurfais.

Dalam masa sama, pemain yang boleh beraksi di sayap kiri dan kanan itu mengakui kecergasannya berada di tahap maksimum berbanding ketika turun dalam perlawanan pertama menentang Arab Saudi.

Malah, Nurfais sudah bersedia jika ketua jurulatih, Bojan Hodak, mahu menggunakan khidmatnya selama 90 minit menentang China.

"Dalam aksi pertama, saya tidak dapat sesuaikan diri kerana terlalu awal dan bermain petang. Kami jarang bermain petang. Memasuki minit ke-60, saya gagal melakukannya.

"Disebabkan ia taktikal, kami terpaksa bertahan."

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen