Pertahanan skuad B- 19 negara, Nabil Hakim Bokhari, tidak akan melupakan insiden terjahan kerasnya kepada pemain Tajikistan, Fuzaylov Ziyovuddin, yang disifatkan sebagai detik terpahit dalam kariernya.

Pemain skuad Piala Presiden Kuala Lumpur itu tidak berniat untuk mencederakan lawannya itu tetapi berusaha merampas bola daripada pihak lawan bagi memburu gol kemenangan.

Walaupun sedikit lega apabila mengetahui Ziyovuddin mampu pulih dalam tempoh dua bulan setengah kerana tidak alami sebarang keretakan atau patah di bahagian buku lali, dia tetap memohon maaf kepada pemain terbabit.

"Saya rasa itu pertama kali saya menyebabkan pemain lawan mengalami situasi itu. Ia akan diingati sampai bila-bila.

"Saya tidak berniat dan ia berlaku bukan secara sengaja. Saya hanya mahu mendapatkan bola dan ingin mendapatkan gol kemenangan," kata Nabil.

Dalam masa sama, dia gembira jaringan penyamaannya di minit ke-55 memastikan skuad negara masih bernyawa untuk ke pusingan suku akhir walaupun sukar ekoran perlu bergantung keputusan pertemuan Arab Saudi dan Tajikistan.

Tidak boleh diturunkan dalam aksi terakhir peringkat kumpulan berdepan China kerana layangan kad merah, Nabil memohon rakan sepasukannya berjuang sehingga kudrat terakhir bagi memburu tiga mata penting.

"Kami bersyukur dengan keputusan seri kerana mungkin ia memberikan hikmah. Mungkin kami boleh menang dalam aksi terakhir berdepan China dan mengharapkan Tajikistan tunduk di tangan Arab Saudi.

"Kami akan cuba berikan aksi terbaik, 200 peratus dan tidak memikirkan penat."

Sementara itu, naib presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) merangkap pengurus skuad B-19, Datuk Abdul Ghani Hassan, berkesempatan menziarahi pemain tengah Ziyovuddin.

Dia menjelaskan tujuan lawatan itu adalah atas dasar mencerminkan semangat kesukanan dalam bola sepak biarpun kedua-dua pasukan masih kekal bersaing memburu slot ke suku akhir kejohanan.

"Kami adalah satu keluarga yang besar dalam bola sepak. Jadi, apabila menerima kecederaan atau kemalangan melibatkan pasukan lawan, ia menjadi tugas saya untuk mewakili FAM menziarahi mereka," ujar Ghani.

"Alhamdulillah, mengikut keterangan doktor, segalanya berjalan lancar buat pemain tersebut. Karier bola sepaknya tidak akan terhenti disebabkan kecederaan yang dialami semalam."