"Jangan mudah melupakan kesilapan yang berlaku," itu teguran ketua jurulatih skuad B-19 negara, Bojan Hodak.

Beliau menggesa barisan pemainnya segera berubah, terutama memperbaiki tahap fokus dan mengurangkan kesilapan seperti terjadi ketika bertemu Arab Saudi dalam aksi peringkat kumpulan Kejohanan AFC B-19, semalam.

Malaysia mempamerkan persembahan positif dalam 20 minit pertama, dengan kelemahan pemain muda negara akhirnya terpancar sebaik lawan memperoleh gol sulung empat minit kemudian menerusi Turki Al-Ammar yang menghukum kelalaian pertahanan.

Selain satu gol dihasilkan Salem Al-Saleem pada minit ke-78, skuad negara boleh menarik nafas lega kerana tidak tewas dengan angka jaringan besar ekoran Arab Saudi banyak mempersia-siakan peluang terhidang.

Walaupun Hadi Fayyadh Abdul Razak membangkitkan semangat yang tersisa dengan merapatkan jurang gol dua minit sebelum perlawanan berakhir, ia gagal membantu pasukan meraih sebarang mata.

Hodak, yang mengakui prestasi Malaysia masih lagi berada di takuk Asia Tenggara, berharap kesilapan dalam aksi terdahulu tidak diulangi jika mahu memastikan kemenangan.

"Kami telah menilai semula persembahan mereka dan terdapat beberapa ruang yang perlu dipertingkatkan lagi. Pada awal permainan, saya berpuas hati dengan persembahan kerana lebih memberikan ancaman berbanding lawan," katanya.

Tonggak tengah pasukan, Nik Akif Syahiran Nik Mat, mengalami kesakitan selepas perlawanan berakhir dan Hodak berharap dia serta beberapa pemain dapat berada di tahap terbaik untuk perlawanan berdepan Tajikistan.

"Terdapat beberapa pemain yang mengalami kesakitan selepas perlawanan. Kami akan menilai tahap kecergasan mereka sebelum diturunkan untuk perlawanan berikutnya."