“Berpakat? Itu di luar kawalan saya.”

Demikian tegas ketua jurulatih bawah 19 tahun, Bojan Hodak, terhadap kemungkinan berlaku pakatan antara Arab Saudi dan Tajikistan dan dia mahu fokus meraih tiga mata pertama ke atas China dalam aksi terakhir Kumpulan D Kejohanan AFC.

Arab Saudi hanya perlu mendapatkan satu mata untuk muncul juara kumpulan dan situasi sama turut dilalui tajikistan yang mahu mara ke suku akhir tanpa mengambil kira apa jua keputusan antara Malaysia dan China.

Situasi itu meletakkan kemungkinan akan wujud pakatan Arab Saudi dan Tajikistan tetapi Hodak masih mahu berfikir positif bahawa kedua-duanya masih mahukan kemenangan bagi mengelak bertemu Korea Selatan di suku akhir.

Namun, dalam masa sama Hodak menjelaskan fikirannya kini lebih tertumpu kepada China walaupun lawannya itu sudah tersingkir ke pusingan seterusnya.

"Ia sesuatu di luar kawalan kami dan ia tidak perlu dirisaukan. Kami patut fokus dengan perlawanan kami dan cuba menundukkan China walaupun ia bakal menjadi aksi sukar," kata Hodak.

Mengenai keadaan terkini pasukan, Hodak memberi gambaran perancang utama, Nik Akif Syahiran Nik Mat, bakal terlepas aksi penting berdepan China kerana masalah kecederaan paha.

Pemain tengah Kelantan itu terpaksa dikeluarkan di minit ke-52 sewaktu bertemu Tajikistan dan digantikan oleh Akhyar Rashid.

"Saya tidak rasa Nik Akif bersedia untuk aksi seterusnya. Dia mengalami masalah kecederaan ketika melakukan larian dan saya khuatir ia bakal memerlukan masa yang lama."