Penyerang negara, Muhd Hadi Fayyadh Abdul Razak, mengimpikan sejarah sama di Kunshan, China akan berulang buat skuad kebangsaan dalam Kejohanan AFC B-19 apabila dia yang bersama skuad B-23 ketika itu layak ke suku akhir selepas menang perlawanan terakhir peringkat kumpulan.

Hadi Fayyadh merupakan salah seorang pemain selain Nik Akif Syahiran Nik Mat dan Akhyar Rashid yang berada dalam skuad B-23 ketika mereka mengejutkan Arab Saudi untuk mara selaku naib juara Kumpulan C serta dibantu kemenangan Iraq ke atas Jordan.

Situasi yang hampir sama ketika ini dilalui berbekalkan satu mata daripada dua perlawanan dan Hadi Fayyadh yakin sejarah itu mampu diulangi dengan menundukkan China.

"Pertama sekali, saya harap sejarah mampu diulangi seperti skuad B-23. Saya percaya dan yakin bahawa Malaysia mampu melakukannya esok untuk menang ke atas China.

"Saya harap kami menang dan mampu memberikan aksi terbaik. Apa sahaja yang terjadi dalam pertemuan Tajikistan dan Arab Saudi, kami mengharapkan Arab Saudi menang. Namun, kami fokus untuk aksi bertemu China," katanya.

Sudah meledak dua gol dalam dua perlawanan sebelum ini, pemain berketinggian 1.85 meter itu menghamburkan penghargaan kepada Nik Akif yang menjadi pencetus kepada jaringannya dalam kejohanan kali ini.

Baginya, keserasian yang terbina hampir dua tahun, bukan sahaja dengan Nik Akif tetapi dengan rakan sepasukan lain tampak mula membuahkan hasil.

"Bagi saya, kami sudah lama bersama, hampir dua tahun, jadi persefahaman itu memang ada. Dua jaringan saya juga hasil bantuan daripada Nik Akif tetapi paling utama, permainan seluruh pasukan," tambahnya.

"Jika tidak, saya tidak akan dapat jaringkan gol."

Sementara itu, ketua jurulatih skuad B-19, Bojan Hodak, berwaspada dengan China walaupun lawannya itu pasukan tunggal yang gagal menjaringkan sebarang gol dalam kejohanan kali ini.

Lawan dilihat memiliki keupayaan teknikal baik serta berbahaya ketika situasi bola mati, cuma kelemahan ketara yang dilihat adalah kurang agresif dan hilang fokus hingga penghujung waktu permainan.

"Jika anda lihat, mereka dibolosi ketika aksi berbaki 10 minit. Terdapat banyak peluang yang mereka raih tetapi tidak disudahkan," kata Hodak.

"Anda tahu bagaimana sukar jika beraksi dalam keadaan tertekan tetapi kini China tampil tanpa sebarang tekanan, jadi ia akan jadi sangat sukar.

"Saya menjangkakan mereka akan menurunkan barisan pemain yang masih belum beraksi dan sudah tentu mereka lebih dahagakan aksi terbaik. Saya rasa ia bakal jadi perlawanan yang sukar."