Penjaga gol skuad B-19 negara, Azri Ghani, layak dinobat antara pemain terbaik dalam aksi berdepan Arab Saudi dalam Kumpulan D, Kejohanan AFC B-19 semalam selepas menyelamatkan kira-kira lima percubaan berbahaya lawan. termasuk satu sepakan penalti, walaupun tewas 1-2.

Ketika barisan pertahanan negara bergelut menampung asakan penyerang Arab Saudi, prestasi Azri berada di tahap luar biasa.

Jelas Azri, dia lega dapat menyelamatkan sepakan penalti yang diambil Turki Al-Ammar pada minit ke-31 bagi memastikan semangat rakan sepasukan tidak menurun menghadapi baki permainan.

"Jika Arab Saudi menjaringkan gol menerusi sepakan penalti itu, ia akan menjatuhkan lagi semangat pasukan. Kami perlu fokus untuk dua aksi lagi bagi memburu kemenangan," katanya.

Sementara itu, pemain tengah, Nik Akif Syahiran Nik Mat, memohon maaf kepada seluruh peminat negara sambil menyifatkan ini bukan persembahan terbaik mereka.

"Saya memohon maaf di atas kekalahan ini. Kami akan memperbaiki lagi persembahan untuk perlawanan seterusnya," kata Nik Akif.