ROMANIA 0 BELANDA 3

Dick Advocaat mengesahkan peranannya bersama Belanda buat kali ketiga berakhir selepas memenangi perlawanan ke-37 sebagai pengurus pasukan kebangsaan itu.


Skuad Oranje mengalahkan Romania 3-0 dalam kunjungan ke tempat lawan, awal pagi tadi yang menyaksikan Advocaat mengatasi rekod 36 kemenangan yang dilakar pengurus berbangsa Inggeris, Bob Glendenning, yang buat di antara tahun 1925 dan 1940.

Setelah memegang jawatan itu dari 1992 hingga 1994 dan 2002 hingga 2004, Advocaat kembali menggalas tugas itu pada Mei lalu dalam usaha yang gagal untuk menyelamatkan impian Belanda ke Piala Dunia 2018.

Walaupun memenangi enam daripada tujuh perlawanan di bawah kendaliannya, jurulatih berusia 70 tahun itu yakin dia membuat keputusan tepat untuk berundur.

"Saya berhenti kerana saya fikir sudah tiba masanya untuk generasi yang lain," kata Advocaat dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Persatuan Bola Sepak Belanda (KNVB).

"Saya tidak was-was (dengan keputusan ini). Sudah tiba masanya untuk orang muda membuktikannya."

Advocaat pernah mengetuai lima negara lain dalam tempoh kerjayanya dalam bidang pengurusan selama 27 tahun, namun tidak mengesahkan sama ada beliau akan meneruskan kerjayanya baik di peringkat kelab mahupun antarabangsa.