Aritz Aduriz menganggap upacara perpisahannya di Stadium San Mames yang sepi tetap memadai tatkala dia memutuskan untuk menggantung but.

Pemain berusia 39 tahun itu mengumumkan persaraannya minggu ini setelah 20 tahun beraksi dalam kancah LaLiga bersama Athletic Bilbao yang menyaksikannya merekodkan 118 gol liga.

Penyerang antarabangsa Sepanyol tersebut diberi sambutan khas di gelanggang keramat mereka itu semalam apabila rakan sepasukan dan keluarganya memberi penghormatan ketika dia melangkah ke padang.

Ia mungkin situasi yang berbeza kerana penyokong pasti akan membanjiri stadium sekiranya bukan kerana protokol kesihatan yang diamalkan dalam krisis koronavirus baru (Covid-19).

Aduriz, bagaimanapun, berpendapat bahawa dia sudah mendapat pengiktirafan yang lebih daripada mencukupi.

"Ini lebih daripada yang saya fikirkan saya berhak," katanya. "Saya telah meraih banyak penghargaan. Saya sangat menikmatinya di sini. Saya tidak berasakan mereka harus mengucapkan selamat tinggal kepada saya.


"Athletic sangat istimewa, berbeza. Kami mencapai tahap yang tidak masuk akal untuk menjadi sebuah kumpulan yang mampu bersaing dengan kelab di seluruh dunia. Ini menjadikan kami berbeza."

Aduriz memilih untuk bersara setelah doktor menasihatkannya agar menjalani pembedahan pinggul biarpun dalam masa yang sama, saingan LaLiga mungkin akan bersambung tidak lama lagi.

Sungguhpun berharap dapat mengakhiri kerjayanya sejurus perlawanan akhir Copa del Rey menentang seteru Basque, Real Sociedad, Aduriz percaya dia tidak akan menawarkan banyak manfaat kepada pasukannya.

"Saya telah bergelut untuk beberapa waktu," katanya. "Selepas sambutan ini, itulah pengakhirannya.

"Tubuh kita mempunyai batasannya dan pinggul saya tidak seimbang. Sepanjang dua bulan di rumah sangat sukar untuk saya menangani kecederaannya.

"Pasukan ini akan menjadi lebih baik tanpa saya di sana. Saya tidak boleh berada di sana dalam keadaan seperti ini."

Aduriz mengesahkan keputusan berat itu melalui catatan di media sosial apabila mengucapkan selamat tinggal selain enggan berasa kecewa ketika merenungkan semula kerjayanya.

"Ini hari yang sangat indah buat saya. Ia sama sekali tidak menyedihkan," katanya. "Saya tidak akan pernah membayangkan perjalanan yang begitu panjang dan indah, dari awal hingga akhirnya. Ini adalah hari untuk bergembira dan bersyukur meskipun tidak mudah untuk berucap di tengah-tengah kesunyian di San Mames ini.

"Perkara paling sukar bukanlah tidak dapat beraksi dalam baki 11 perlawanan liga musim ini atau dalam final perebutan piala. Perkara yang paling sukar adalah tidak lagi bersama skuad ini. Saya akan merindui anda semua. Terima kasih semua atas perjalanan ini. Ia sungguh indah, tidak dapat dilupakan.

"Saya suka bola sepak tetapi tidak pernah terlintas dapat mewakili Athletic. Saya mencapai tahap ini dalam hidup saya sehingga berumur 39 tahun, ia kerana saya melakukan apa yang paling saya sukai. Saya mengharungi waktu yang hebat."