Aduriz sudah penat dengan dominasi Barca, Madrid

Oleh Staff Writer 11 Februari 2020 2441
Aduriz sudah penat dengan dominasi Barca, Madrid
Aritz Aduriz berharap dapat menamatkan kariernya di Athletic Bilbao dengan menjuarai Copa del Rey sambil mengakui dia sudah penat melihat Barcelona dan Real Madrid memenangi segala-galanya.

Athletic menyingkirkan Barca dalam suku akhir kejohanan itu minggu lalu hasil jaringan sendiri Sergio Busquets dalam waktu kecederaan.

Madrid pula disingkirkan oleh seteru setempat Athletic, Real Sociedad -- kali pertama dalam tempoh 65 tahun kedua-dua kelab gergasi Sepanyol itu tersingkir daripada Copa pada hari yang sama.

Perlawanan separuh akhir akan mempertemukan Athletic dan Granada manakala Sociedad pula akan menentang Mirandes dengan format timbal balik akan diperkenalkan dalam penentuan itu.

Aduriz merupakan sebahagian daripada pasukan yang ditewaskan Barca dalam final pada 2015 di mana skuad Catalan itu kemudian memenangi trofi berkenaan untuk empat edisi berturut-turut.

Athletic pula gagal meraih kejuaraan itu dalam tiga final sejak 2009 dan Aduriz berkeinginan besar untuk menamatkan kariernya dengan pencapaian terbaik itu.

"(Format baru itu) bukan penghalang, sebaliknya ia penambah nilai," kata penyerang itu dalam majlis gala majalah Panenka.

"Kami sudah penat melihat Barcelona dan Real Madrid memenangi segala-galanya.

"Tetapi ia baik untuk melihat kejohanan ini menjadi lebih dinamik.

"Anda dapat melihatnya di England di mana ia lebih menarik.

"Ia format yang disukai ramai.

"Saya sudah lama mengimpikannya (menjuarai piala).

"Pada awalnya, ia hanya fantasi dan mungkin semakin hampir sekarang walaupun ia amat sukar.

"Bayangkan untuk bersara daripada bola sepak musim ini dengan satu gelaran.

"Itu impian setiap orang," katanya.



Editor: Muzaffar Musa

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen