Pemain Perak, Nur Haniza Saarani, dipanggil mewakili skuad bola sepak wanita kebangsaan bagi menghadapi Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, Ogos nanti.

Ini adalah penyertaan kedua Nur Haniza, yang juga adik kepada pemain kebangsaan dan Kedah, Fakri Saarani, menyarung jersi negara dalam menghadapi perlawanan berprofil tinggi.

Menurut Nur Haniza, perasaannya bercampur-baur apabila dipanggil ke kem latihan pusat.

"Ada sedih dan gembira. Gembira kerana diberi kepercayaan mewakili negara tetapi sedih meninggalkan kem bola sepak wanita Perak yang sedang menjalani latihan untuk persediaan Piala Tun Sharifah Rodziah."

Sementara itu, jurulatih Perak, Zulfa Anis, berharap agar anak didiknya dapat memberi fokus untuk memikul kepercayaan yang diberikan.

"Saya gembira dan diharapkan segala pelajaran dan pengalaman semasa dalam kem latihan pusat dapat dikongsi bersama nanti dengan rakan-rakan Perak", ujarnya.