Adama Traore menarik diri daripada skuad Sepanyol menjelang perlawanan Liga Negara-Negara Eropah menentang Ukraine awal pagi esok selepas diuji positif antibodi koronavirus dalam ujian PCR.

Traore terlebih dahulu diketepikan daripada skuad Sepanyol ketika terikat 1-1 dengan Jerman di Stutgart, Khamis lalu selepas keputusan ujian COVID-19 yang tidak meyakinkan.

Bintang Wolves itu menjalani ujian PCR kelmarin dan pemain berusia 24 tahun berkenaan -- yang sedang menantikan penampilan pertamanya bersama skuad kebangsaan Sepanyol -- tidak akan terlibat dengan perlawanan menentang Ukraine.

"Setelah menerima keputusan ujian, dan walaupun pemain itu menunjukkan tahap antibodi yang tinggi seperti jumlah IgG positif, perkhidmatan perubatan RFEF (Persatuan Bolasepak Diraja Sepanyol), selepas merujuk UEFA (Kesatuan Bolasepak Eropah), telah memutuskan untuk menggugurkan pemain itu daripada tugasnya dengan pasukan kebangsaan walaupun dia tidak berisiko menyebarkan virus itu kepada rakan sepasukannya," kata RFEF dalam satu kenyataan.

"Di bawah protokol UEFA, adalah disarankan untuk pemain tidak ke stadium sekiranya ujian PCR mereka tidak negatif sepenuhnya."

Sepanyol akan melayani kunjungan Ukraine di Estadio Alfredo Di Stefano di Madrid bagi perlawnan Kumpulan 4 Liga A.

Ukraine kini mendahului kumpulan itu selepas menewaskan Switzerland 2-1 dalam perlawanan terakhir mereka.