Pemain pertahanan Malaysia yang beraksi dalam Sukan SEA Kuala Lumpur, Adam Nor Azlin, bertekad mahu membantu skuad senior negara melakar kemenangan ke atas Hong Kong dalam kelayakan Piala Asia 2019 di Stadium Hong Kong, Selasa ini.

Katanya, semangat skuad muda negara yang mara ke final temasya dwi-tahunan itu akan dibawa bagi memburu kemenangan.

"Alhamdullillah, saya terpilih untuk beraksi menentang Hong Kong. Jadi, diharapkan gabungan pemain senior dan junior ini dapat memberikan impak yang positif, Selasa ini," katanya.

Dengan ketiadaan dua pemain pertahanan, Aidil Zafuan Abdul Razak dan Mohd Rizal Ghazali akibat digantung perlawanan, Adam melahirkan keyakinan akan memberikan aksi yang terbaik sekiranya diberi peluang bermain oleh jurulatih, Nelo Vingada, dalam perlawanan wajib menang itu.

"Sudah semestinya, saya mesti bersedia walau apa juga kemungkinan. Jika saya diturunkan, saya harap saya dapat membalas kepercayaan jurulatih dengan membantu pasukan agar gawang kita tidak dibolosi.

"Bagi saya, saya perlu menunjukkan satu prestasi yang luar biasa dan membawa semangat Sukan SEA, yang seperti sedia maklum, kita telah mendapat tempat kedua.

"Dengan gabungan ini juga, saya yakin kami mampu melakar kemenangan menentang Hong Kong," tambahnya.

Malaysia hanya mengumpul satu mata selepas terikat 1-1 dengan Hong Kong di Stadium Hang Jebat, 5 September lalu.