Pemain pertahanan negara, Adam Nor Azlin, mahu membuktikan dirinya layak beraksi bersama skuad Harimau Malaya dalam usaha meraih penampilan pertama di pentas antarabangsa bagi perlawanan kelayakan Piala Asia 2019 menentang Hong Kong, Selasa ini.

Adam pernah dipanggil menyertai skuad senior negara di bawah bimbingan Datuk Ong Kim Swee sebelum ini.

Namun, kelibat Adam ketika itu dipandang sepi apabila dilabel sekadar melengkapkan senarai pemain.

Tetapi, situasi itu tampak berbeza kali ini apabila pemain kelahiran Klang berusia 21 tahun itu tampil memikat hati pengendali negara, Nelo Vingada, menerusi persembahan terpuji bersama skuad muda negara mahupun skuad Liga Super, Selangor.

"Baru sekarang saya dinilai atas prestasi. Sebelum ini orang mempertikaikan kenapa saya dipanggil kerana berpendapat saya mungkin tidak sesuai di bahagian serangan.

"Alhamdulillah, perubahan drastik ini diharap dapat dikekalkan sampai penghujung karier dan jika diturunkan menentang Hong Kong, saya akan memberikan aksi terbaik," ujarnya.

Adam adalah antara enam pemain B-22 negara yang diserap menyertai skuad Harimau Malaya bagi tugasan berdepan Hong Kong.

Tampil menyerlah dalam temasya KL2017, Ogos lalu, Adam bertekad menyerlahkan aksi lebih ampuh jika diberi peluang beraksi dalam pertemuan itu nanti.

Adam adalah antara pilihan terbaik Vingada untuk digandingkan bersama Shahrom Kalam di benteng akhir susulan ketiadaan Aidil Zafuan Abdul Radzak yang digantung perlawanan.