Ada sinar buat Khalid Jamlus

Oleh Bernama 8 Julai 2020 2005
Ada sinar buat Khalid Jamlus
Selepas lama menyepi, bekas bintang Perak, Khalid Jamlus, memberi bayangan bahawa dia mungkin kembali mewarnai industri bola sepak tanah air.

Ia berikutan perkembangan positif yang diterimanya hasil pertemuan dengan Timbalan Menteri Belia dan Sukan, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal.

Khalid, 43, berkata pertemuan itu antara lain membincangkan masalah yang sedang dihadapinya selain mencari penyelesaian bagi memastikan dia dapat memanfaatkan sepenuhnya pengalaman luas yang dimiliki sepanjang bergelar pemain.

“Kita tunggu dan lihat, timbalan menteri telah suarakan cadangan bagaimana untuk membantu saya menyambung kehidupan sepenuhnya pada masa depan.

"Cadangan tersebut amat baik dan memang saya tunggu-tunggu. Ia (cadangan) juga masih dalam bidang bola sepak,” katanya dalam sidang media selepas pertemuan itu  di Menara Kementeria Belia dan Sukan (KBS) hari ini.

Turut hadir dalam pertemuan itu adalah Pengerusi Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb), Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed.

Dalam pada itu, Wan Ahmad Fayhsal berkata pihaknya akan memuktamadkan mengenai bentuk bantuan yang akan disalurkan kepada bekas bintang bola sepak negara itu.

“Beliau (Khalid) aset untuk industri bola sepak, beliau ada Lesen B untuk menjadi jurulatih. Saya perlu berbincang dengan menteri dulu,” katanya.

Nama Khalid hangat diperkatakan susulan tindakannya melelong kasut emas yang dimenanginya ketika Perak muncul juara Liga Perdana 1 musim 2002 menerusi bidaan secara langsung di akaun Facebook miliknya baru-baru ini.

Tindakan Khalid itu atas faktor kewangan selepas tiga tahun tiada pekerjaan tetap.

-- BERNAMA

Tentang Penulis

Bernama

Komen