JDT 0 SHANDONG 1

Johor Darul Ta'zim (JDT) terus kempunan mencari kemenangan pertama selepas tewas kepada kelab China, Shandong Luneng, 1-0 dalam saingan peringkat kumpulan Liga Juara-Juara Asia (ACL) di Stadium Larkin, malam ini.


Beraksi di laman sendiri seharusnya memberi kelebihan buat JDT dalam misi mencari kemenangan pertama dalam saingan peringkat kumpulan.

Untuk itu, Benjamin Mora menurunkan barisan terbaiknya selepas tewas 1-2 dalam perlawanan di Pusat Sukan Olimpik Ji'nan, 9 April lalu.

Beberapa gerakan awal menampakkan seolah-olah JDT bakal memperoleh gol awal ketika pasukan pelawat masih lagi belum dapat menyusun strategi.

Bagaimanapun, dalam kerancakan JDT mengatur gerakan, Shandong berjaya membolosi pintu gol skuad Harimau Selatan itu.

Graziano Pelle memanfaatkan peluang di depan pintu gol pada minit ke-22 untuk menewaskan penjaga gol JDT, Mohd Izham Tarmizi Roslan.

Keinginan untuk bangkit menyemarakkan serangan JDT dalam babak kedua, namun gol penyamaan masih gagal dijelmakan.

Pertukaran yang dilakukan Mora dengan memasukkan Safawi Rasid turut gagal memberikan impak di bahagian serangan.

Keputusan 1-0 kekal sehingga tamat perlawanan dengan menyaksikan JDT terus gagal mencari kemenangan selepas empat perlawanan untuk kekal di tangga terbawah kumpulan dengan hanya satu mata.

Shandong Luneng mendahului Kumpulan E dengan lapan mata, diikuti oleh Kashima Antlers yang menewaskan Gyeongnam FC 1-0 dalam satu lagi perlawanan.