Hasrat Kedah untuk mara ke peringkat undian utama saingan Liga Juara-Juara Asia (ACL) tidak kesaimpaian apabila tewas 4-1 kepada wakil Korea Selatan, FC Seoul dalam perlawanan yang berlansung di Stadium Piala Dunia Seoul, sebentar tadi.

Dalam perlawanan yang didominasi tuan rumah, Kedah telah berusaha menyerap tekanan apabila beberapa siri percubaan telah berjaya dinafikan penjaga gol, Shahril Saa’ri.

Namun enam minit sebelum tamat separuh masa pertama, tindakan Renan Alves memaksa pengadil melayangkan kad merah dan sepakan penalti diberikan kepada Seoul.

Park Chu-young tenang mengatasi Shahril untuk meledak gol pertama perlawanan.

Seoul memerlukan empat minit selepas separuh masa kedua bermula untuk menggandakan jaringan apabila hantaran Hwang Hyun-soo bijak mencari Park Dong-jin, yang mudah mengatasi Rizal Ghazali sebelum melakukan tandukan mengatasi Shahril buat kali kedua.

Kedah diberikan talian hayat pada minit ke-52 apabila sepakan percuma Baddrol Bakhtiar memaksa pemain Seoul, Osmar, melakukan jaringan sendiri.

Bagaimanapun, perlawanan jauh memihak tuan rumah 11 minit kemudian apabila Osmar menebus kesilapannya apabila menjaringkan gol ketiga Seoul.

Seoul menoktahkan kemenangan dalam masa kecederaan apabila percubaan Ikromjon Alibaev daripada luar kotak penalti melencong masuk ke gawang gol.


Editor: Ammar Hakim