Pemain yang dipinjamkan kepada Borussia Dortmund, Achraf Hakimi, berkata dia bersedia untuk kembali ke Real Madrid sekiranya pasukan gergasi LaLiga itu mahukannya kembali pada penghujung musim ini.

Achraf menandatangani kontrak pinjaman selama dua musim dengan Dortmund pada 2018 dan pertahanan sayap kebangsaan Maghribi itu amat menyerlah bersama pasukan Bundesliga berkenaan.

Pemain berusia 21 tahun itu dijangka akan meninggalkan Dortmund pada penghujung musim ini tetapi ia tidak semestinya kepulangan ke Santiago Bernabeu.

"Real Madrid adalah rumah saya," kata Achraf, yang menjaringkan 10 gol sepanjang di Dortmund, kepada Telefoot.

"Saya amat menikmati waktu saya dan bermain dalam banyak perlawanan di sana.

"Jika Madrid mahu saya kembali, saya akan ke sana.

"Dan jika tidak, saya perlu menulis tajuk baru di kelab lain," katanya.

Achraf menambah: "(Ketua jurulatih Madrid, Zinedine) Zidane merupakan individu yang memberikan saya peluang dan keyakinan untuk bermain bola sepak secara profesional.

"Saya berterima kasih kepadanya di atas kepercayaan dan layanannya kepada saya.

"Saya sentiasa berterima kasih kepadanya."

Mengenai keputusannya untuk meninggalkan Dortmund, Achraf berkata: "Ketika saya berhenti dan berfikir, saya sedar ia adalah keputusan terbaik yang boleh saya lakukan.

"Kerana saya bermain dan berkembang sebagai pemain bola sepak. Itulah yang perlu saya lakukan."

Dortmund sedang bersedia untuk menghadapi Paris Saint-Germain (PSG) dalam perlawanan kedua pusingan 16 Liga Juara-Juara Eropah awal pagi lusa.

Mereka memenangi perlawanan pertama 2-1 di laman sendiri hasil jaringan berganda Erling Haaland dan Achraf sedang memburu trofinya musim ini.

"Saya harap kami dapat mencapai yang setinggi mungkin.

"Bagi jangka pendek, menewaskan PSG dan bagi jangka panjang, mencuba untuk memenangi Bundesliga dan mara sejauh mungkin dalam Liga Juara-Juara.

"Segala-galanya mungkin.

"Harap-harap kami boleh mara sejauh mungkin dan memenanginya.

"Dan jika tidak, kami akan pergi dengan perasaan puas terhadap apa yang telah kami lakukan dan kami berikan," katanya lagi.